Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:00pm
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengadakan taklimat selepas lawatan kerja ke Pejabat Daerah dan Tanah Jasin. - NSTP/Rasul Azli Samad

Melaka kekal haramkan Zakir Naik berceramah

JASIN: Tindakan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang membangkitkan isu perkauman disifatkan melanggar batasan kehidupan rakyat di negara ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata kenyataan ‘panas’ yang dikeluarkan pendakwah dari India itu dikesan menimbulkan kemarahan sesetengah masyarakat pelbagai kaum di negara ini, khususnya kaum Cina dan penganut Hindu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk mengharamkan Zakir daripada menyampaikan ceramahnya di negeri ini.

“Setiap perkara mesti ada batasnya, ia termasuk soal keamanan dan isu perkauman yang sudah pasti tidak dibenarkan.

“Walaupun kita tidak menghalang sebarang program berbentuk ilmiah atau wacana ilmu di Melaka, tapi apabila seseorang itu menyentuh aspek yang membabitkan ketenteraman dan perpaduan awam sehingga menggugat kesejahteraan kaum, kita tidak benarkan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Jasin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), berkata buat masa ini larangan terhadap Zakir itu kekal sehingga ke satu masa yang akan ditentukan kelak.

Beliau berkata, isu Zakir tidak boleh disamakan dengan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan terhadap masyarakat Islam di negeri ini.

“Isu ini berbeza dan seperti yang saya katakan, selagi seseorang itu tidak menyentuh soal perkauman, perpaduan dan ketenteraman masyarakat, kita tiada halangan untuk mereka berdakwah di negeri ini,” katanya.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Selain Melaka, negeri lain yang turut melarang dakwah penceramah terbabit adalah Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

971 dibaca
Berita Harian X