Selasa, 20 Ogos 2019 | 12:59pm
DR MASZLEE diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama sempena Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019.

Malaysia, China pacu kerjasama bidang karya ilmiah

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat meneroka kerjasama untuk memperkenalkan karya hebat sasterawan negara di China, termasuk aspek penterjemahan dan pemasaran bagi memastikan ia berupaya dihebahkan ke serata dunia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama sempena Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing 2019, berkata Malaysia sentiasa memandang China sebagai destinasi terbaik bagi sektor ekonomi dan budaya.

Sehubungan itu, katanya, hubungan kedua-dua negara akan dimanfaatkan sebaiknya untuk meneroka kerjasama lebih luas demi mewujudkan ekosistem dinamik terhadap industri buku Malaysia-China.

“Malaysia kini giat meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat dan merancakkan pertumbuhan industri buku negara.

“Kepentingan industri buku negara bukan sekadar soal perniagaan semata-mata, namun ia turut menyentuh hal berkaitan silang budaya dan pengukuhan ilmu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Forum Penerbitan Antarabangsa Beijing ialah penganjuran acara berskala besar yang menghimpunkan penerbit buku dan majalah dari seluruh dunia.

336 dibaca
Berita Harian X