Selasa, 20 Ogos 2019 | 12:58pm
Kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya empat kali ganda kos merawat penyakit akibat merokok berbanding cukai rokok yang dikutip. - Foto hiasan

Kos rawat penyakit akibat merokok tinggi berbanding cukai rokok

SHAH ALAM: Kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya empat kali ganda kos merawat penyakit akibat merokok berbanding cukai rokok yang dikutip.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata bagi setiap RM1 cukai yang diterima daripada rokok, kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM4 untuk merawat pesakit yang mengidap penyakit akibat rokok.

“Kerajaan mengutip kira-kira RM4 bilion setiap tahun daripada cukai rokok, tetapi dianggarkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM16 bilion (untuk merawat penyakit akibat merokok).

“RM16 bilion itu bukan hanya dari pihak kementerian, tetapi juga sektor swasta untuk merawat penyakit akibat rokok termasuk kanser, penyakit jantung dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sesi Townhall Jaringan Pintar Program Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia di Institut Kesihatan Negara (NIH), Setia Alam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Boon Chye berkata, statistik menunjukkan purata dalam tempoh tujuh tahun (2012-2018), seramai 73,836 menyertai program perkhidmatan berhenti merokok dengan sebanyak 23 peratus berjaya berhenti merokok dalam tempoh enam bulan.

“Setakat ini jumlah yang berjaya berhenti merokok sejak 2012 hingga 2018 adalah 16,930,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 46 hospital kerajaan dan 731 klinik kesihatan menyediakan perkhidmatan berhenti merokok dan tahun lalu saja perkhidmatan itu menerima lebih daripada 10,896 orang perokok.

“Matlamat Kementerian Kesihatan adalah meningkatkan jumlah kehadiran perokok yang menggunakan perkhidmatan berhenti merokok.

“Saya harap perkhidmatan ini dapat dihebahkan dan senarai hospital yang menawarkan perkhidmatan berhenti merokok boleh didapati di di jomquit.moh.gov.my serta kementerian menyediakan bantuan berhenti merokok melalui Infoline Berhenti Merokok di talian 03-88834400” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu berhasrat untuk mengurangkan kelompok perokok di Malaysia kepada lima peratus menjelang 2045.

536 dibaca
Berita Harian X