Selasa, 20 Ogos 2019 | 12:44pm
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata Zakir (kanan) adalah individu yang amat terbuka dan sanggup berdialog secara ilmiah dan rasional kepada sesiapa sahaja. - Foto NSTP

Mufti Pulau Pinang pertahan Dr Zakir Naik

GEORGETOWN: Golongan yang memandang serong kepada pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik disaran supaya meluruskan sikap masing-masing dan berhenti menuduh beliau sebagai pelampau, penyebar fitnah dan sebagainya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata Zakir sebaliknya adalah individu yang amat terbuka dan sanggup berdialog secara ilmiah dan rasional kepada sesiapa sahaja.

“Bagaimanapun, penguasaannya yang hebat dalam bidang ilmu perbandingan agama dan kecekapannya berhujah dengan amat cemerlang untuk menyokong kebesaran Islam menyebabkan beliau (Zakir) dimusuhi mereka yang tidak mampu berdepan dengannya.

“Sesiapa yang mengkaji agama ini (Islam) tahu tanpa keraguan bahawa salah satu prinsip dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis ialah tiada paksaan untuk menganut Islam.

“Tetapi perlu diketahui bahawa menyeru manusia kepada Islam adalah diwajibkan ke atas umatnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilapor melarang pendakwah terkenal Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi menjamin keselamatan dan keharmonian kaum selepas larangan sama dikeluarkan di tujuh negeri, termasuk di Pulau Pinang.

Zakir kini sedang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Semalam, Zakir selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam di Bukit Aman, selepas menjalani sesi sama kira-kira lima jam, pada Jumaat lalu.

Pada 3 Ogos lalu, Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, rakyat di negara ini secara umumnya mengetahui bahawa Islam tercatat di dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, selain bukan Islam perlu tahu bahawa Islam tidak suka memaksa sesiapa pun untuk menerimanya sebagai anutan.

“Selaras dengan keistimewaan ini, Islam selayaknya diberi ruang yang lebih daripada agama lain untuk ditampilkan ke pengetahuan seluruh rakyat supaya segala ajarannya difahami tanpa halangan, termasuklah usaha berdakwah kepada bukan Islam.

“Mereka (bukan Islam) mesti bersangka baik terhadap usaha dakwah yang bertujuan memberi pencerahan mengenai prinsip akidah dan amalan terkandung di dalam ajaran Islam, disamping berusaha menyingkirkan perasaan fobia atau prasangka terhadapnya,” katanya.

3639 dibaca
Berita Harian X