Selasa, 20 Ogos 2019 | 11:16am
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat bagi merasmikan Istiadat Konvokesyen kali ke-48 Politeknik Ungku Omar di Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof

Suara perpaduan, kesederhanaan satukan rakyat perlu dipertahankan - Sultan Perak

IPOH: Suara perpaduan dan kesederhanaan yang menyatukan rakyat negara ini sejak 62 tahun lalu harus dipertahankan dan jangan membenarkannya dirampas oleh mana-mana pihak yang bertujuan politik sempit jangka pendek.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah masa hadapan rakyat dan negara, tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman pelampau kaum atau agama.

"Anak muda hendaklah memahami dan menghayati pentingnya faktor perpaduan, dan pentingnya setiap kaum menghargai serta menghormati kehadiran masing-masing.

"Adalah penting mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan, menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen Ke-48 Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub dan Pengarah PUO, Dr Zairon Mustapha.

Seramai 2,270 graduan menerima ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Kemahiran Khas pada konvokesyen itu yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini di Dewan Jubli PUO.

Sultan Nazrin bertitah, tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara adalah tanggungjawab setiap warga, demi menjamin negara ini kekal aman, rukun, makmur dan sejahtera.

Baginda bertitah, kejayaan memupuk perpaduan agar rakyat berbilang kaum dapat hidup secara rukun, harmoni serta saling menghormati, memahami dan bekerjasama, adalah kunci kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi selama ini.

Titah baginda, barisan yang diamanahkan tanggungjawab memimpin Malaysia merdeka 62 tahun lalu, amat menyedari kepentingan memastikan rakyat yang berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama ini dapat hidup secara rukun dan harmoni, demi kelangsungan sebuah negara merdeka yang aman serta sejahtera.

"Prinsip dan falsafah politik yang dijaguhkan oleh Bapa Kemerdekaan kita, Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan barisan pemimpin yang seangkatan, ketika merintis tuntutan kemerdekaan ialah politik yang berteraskan semangat merangkumi' (inclusiveness).

"Prinsip dan falsafah itu telah memberikan kemenangan politik kepada Yang Teramat Mulia Tunku, hingga beliau mendapat sokongan daripada penduduk pelbagai kaum dan agama, bersandarkan formula bahawa bumi ini, memberi tempat untuk bertapak, dan langit untuk bernaung kepada semua warga secara adil dan saksama.

"Semangat merangkumi ini, adalah serapah sakti' berjaya menyatu padukan warga di negara ini," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, semangat merangkumi itu berjaya menjadi `mantera ajaib' menewaskan dakyah dan cita-cita Parti Komunis Malaya (PKM), mengatasi ancaman Indonesia ketika berlakunya konfrontasi, merawat luka akibat peristiwa 13 Mei 1969 dan mengharungi pelbagai krisis ekonomi yang berlaku.

Baginda juga bertitah, graduan yang berada di bawah usia 30 tahun kini bukan sahaja terbabit secara langsung memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga semakin berperanan penting dalam urusan tata negara termasuk peranan lebih signifikan dalam mencorak landskap politik negara.

Titah baginda juga, dalam memenuhi harapan tinggi negara selepas had usia layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun, mereka harus memikirkan secara serius sekurang-kurangnya tiga tanggungjawab utama iaitu politik, kepimpinan dan kenegaraan.

471 dibaca
Berita Harian X