Isnin, 19 Ogos 2019 | 10:53pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Majlis Persantapan Diraja di Dewan Santapan Utama Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, malam ini. - Foto BERNAMA

Daya usaha kunci kejayaan hubungan dua hala Malaysia-Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Hasil daya usaha dan pandangan jauh kerajaan Malaysia dan Brunei menjadi kunci kejayaan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Brunei yang wujud sejak ratusan tahun lampau kini berkembang mencakupi pelbagai bidang.

Titah Seri Paduka, pendekatan rundingan tahunan antara pemimpin kedua-dua negara adalah manifestasi kerjasama utuh bagi memastikan kelestarian hubungan dua hala Malaysia dan Brunei.

“Pendekatan ini telah menjadi tiang kerjasama kedua-dua negara dalam membincangkan pelbagai isu bagi mencapai keputusan yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

“Melalui pendekatan ini juga hubungan ekonomi antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam menjadi semakin kukuh,” titah balas Tuanku pada Majlis Persantapan Diraja di Dewan Santapan Utama Istana Nurul Iman, di sini malam ini.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis itu disambut Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang juga Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan semalam untuk lawatan negara selama tiga hari sehingga esok bagi mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 35 tahun lalu.

Lawatan ke Brunei itu adalah lawatan negara pertama Seri Paduka sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Julai lalu.

Lawatan itu turut mengimbas kembali sejarah Almarhum Sultan Ahmad Shah, iaitu ayahanda Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh melakukan lawatan negara pertama ke Brunei pada 21 April 1984, selepas negara berkenaan mencapai kemerdekaan.

Yang di-Pertuan Agong bertitah Brunei adalah rakan perdagangan Malaysia yang paling aktif dalam kalangan negara ASEAN.

Selain itu, Tuanku bertitah kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan terus kekal menjadi elemen terpenting dalam hubungan kedua-dua negara yang Malaysia amat menghargai penempatan pasukan keselamatan Brunei dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan serta pasukan pemantauan antarabangsa di selatan Filipina.

Dari aspek pembangunan ummah pula, usaha Malaysia dan Brunei dalam membantu nasib umat Islam dilihat sebagai satu tanggungjawab bersama.

“Semua ini adalah persamaan nilai norma yang dikongsi oleh Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Ia secara tidak langsung mencerminkan persefahaman kedua-dua negara dalam menghadapi isu sejagat, khususnya yang membabitkan kebajikan ummah,” titah Al-Sultan Abdullah.

Berdasarkan hasil lawatan tiga hari ke negara itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan pesat negara berkenaan dan ia adalah hasil daripada kejayaan Sultan Brunei dalam membangunkan negara itu khususnya bagi kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Sultan Hassanal bertitah Malaysia antara rakan niaga terbesar bagi Brunei yang akan terus menyumbang kepada pertumbuhan bersama ekonomi kedua-dua negara.

“Melalui hubungan yang akrab ini, kita menikmati rangkaian kerjasama berterusan di pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pertahanan, keselamatan dan pendidikan demi kepentingan bersama,” titah baginda - BERNAMA

337 dibaca
Berita Harian X