Jumaat, 16 Ogos 2019 | 11:15pm
Dr Xavier Jayakumar (tujuh dari kiri) pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun MBAM Ke-65, malam ini. Foto - Eizairi Shamsudin

Kontraktor perlu pastikan projek guna air secara lestari - Xavier

PETALING JAYA: Kontraktor pembinaan perlu mempunyai perancangan jangka panjang bagaimana untuk memastikan projek yang mereka laksanakan menggunakan air secara lestari.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata bekalan air yang mencukupi untuk melaksanakan sesuatu projek mungkin menjadi isu yang perlu ditangani kontraktor dalam dekad akan datang.

Justeru, kontraktor mungkin perlu mencari sumber air yang baharu bagi melaksanakan projek mereka seperti mengumpul air hujan atau menggunakan air dikitar semula.

“Perubahan ini tidak dapat dielakkan. Kontraktor pembinaan perlu fikir untuk 10 tahun akan datang. Perlu ada perancangan bagaimana untuk menggunakan air secara lestari.

“Pada masa depan, kita mungkin berdepan masalah bekalan air. Bekalan air diperlukan untuk manusia. Populasi akan bertambah maka penggunaan air juga meningkat,” katanya berucap pada majlis makan malam Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Presiden MBAM, Foo Chek Lee dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

Sementara itu, Xavier berkata, kepakaran yang dimiliki kontraktor pembinaan boleh dimanfaatkan untuk membantu kerajaan menguruskan bekalan air terutama menangani kerugian akibat air terbuang atau air tidak berhasil (NRW).

Katanya, kontraktor pembinaan dan pihak industri sumber air boleh bekerjasama untuk bagi melaksanakan program rehabilasi dan penggantian paip air bagi menangani masalah NRW.

“Saya yakin kerajaan boleh mendapatkan khidmat pakar daripada industri pembinaan untuk menangani masalah kerugian akibat NRW,” katanya.

Berita Harian X