Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:33pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mencuba kerusi baharu pesawat AirAsia pada majlis lawatan ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ, KLIA dan turut bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat (kanan). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Belum ada cadangan meyakinkan untuk ambil alih MAS

SEPANG: Tun Dr Mahathir berkata hingga kini belum ada cadangan yang meyakinkan daripada pelbagai pihak yang dilaporkan berminat untuk mengambil alih Malaysia Airlines (MAS).

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan masih meneliti pelbagai cadangan pengambilalihan berkenaan.

“Tidak banyak boleh diperkatakan tentang MAS buat masa ini. Kami masih menilai cadangan mengenai langkah untuk memulihkan MAS dan (setakat ini cadangan berkenaan) masih belum meyakinkan kerajaan,” katanya selepas melawat ibu pejabat AirAsia RedQ di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz.

Baru-baru ini, dilaporkan Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab adalah antara pihak yang dilaporkan menyatakan hasrat untuk ‘menyelamatkan’ MAS.

Usaha Pahamin bersama lima usahawan, yang nama mereka tidak didedahkan, dikatakan bukan atas nilai komersial semata-mata tetapi lebih kepada semangat cintakan negara yang mana beliau berjanji tidak akan ada pembuangan pekerja sekiranya pengambilalihan itu dimuktamadkan.

Difahamkan, antara kumpulan yang sudah menghantar cadangan pengambilalihan MAS ialah Najah Air Sdn Bhd yang diketuai oleh Pengasas Bersama AirAsia Group Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab dan The Weststar Group milik Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim.

Berita Harian X