Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:05pm
Penceramah bebas, Dr Zakir Naik. - NSTP/Fathil Asri

Zakir Naik lapor polis terhadap lima individu termasuk Kulasegaran

SHAH ALAM: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik membuat laporan polis terhadap lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran kerana didakwa memfitnahnya.

Beliau berkata, fitnah berkenaan adalah berdasarkan kenyataan dalam ceramahnya di Kota Bharu, minggu lalu.

Selain Kulasegaran, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Komuniti Seksyen 7, di sini, turut membabitkan empat individu lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

Dalam laporan yang ditulis sendiri oleh Zakir, beliau turut meletakkan beberapa pautan laporan berkaitan dakwaan semua individu berkenaan.

Zakir juga mendakwa, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat semua individu berkenaan mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta berkaitan fitnah yang dibuat terhadapnya.


ORANG ramai membuat demonstrasi aman solidariti buat Dr Zakir Naik selepas beliau di tuduh boleh menggugat keamanan dan keharmonian Negara di perkarangan Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. - Foto Fathil Asri

ORANG ramai membuat demonstrasi aman solidariti buat Dr Zakir Naik selepas beliau di tuduh boleh menggugat keamanan dan keharmonian Negara di perkarangan Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan. - Foto Fathil Asri

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan ini diserahkan kepada polis di Putrajaya memandangkan kejadian di sana,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, hari ini.

Kontroversi terkini membabitkan Zakir yang dikatakan mendakwa adalah malang kerana masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga didakwa membandingkan nasib masyarakat beragama Hindu di Malaysia yang menikmati hak sepenuhnya berbanding orang Islam di India.

Sebelum ini dua menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dan Kulasegaran mahu penceramah bebas, Zakir, tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini selain pelbagai pihak daripada kerajaan mendesak untuk dia dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengulangi pendirian beliau untuk tidak menghantar pulang Zakir ke negara asalnya kerana bimbang pendakwah itu mungkin dibunuh di India.

Berita Harian X