Jumaat, 16 Ogos 2019 | 4:52pm
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Biar PM putuskan kedudukan Dr Zakir Naik - Mufti Perlis

KANGAR: Semua pihak perlu menyerahkan segala kenyataan atau keputusan yang membabitkan penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata suasana ketika ini menjadi kusut kerana semua pihak dilihat mengeluarkan kenyataan.

“Kita sekarang berada dalam satu suasana politik yang tidak begitu terurus seperti mana suasana sebelumnya.

“Keadaan jadi tidak terkawal apabila semuanya bercakap tanpa ada satu garis panduan atau satu keputusan yang jelas (berhubung isu Dr Zakir).

“Perdana Menteri (Dr Mahathir) sudah memberikan kenyataannya mengenai isu Dr Zakir tetapi masih ada menteri Kabinet yang berbeza pandangan.

“Sepatutnya itu (kenyataan Dr Mahathir) dijadikan pegangan atau keputusan kerana itu adalah keputusan yang tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Masjid Al-Hussein, Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Sebelum ini dua menteri Kabinet iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini selain pelbagai pihak daripada kerajaan mendesak untuk dia dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, Dr Mahathir baru-baru ini mengulangi pendirian beliau untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir ke negara asalnya kerana bimbang sekiranya pendakwah itu dibunuh di India nanti.

Mengulas lanjut, Mohd Asri turut mempersoalkan tindakan pelbagai pihak yang memberikan layanan tidak adil kepada Dr Zakir.

“Kita boleh ada pandangan berbeza oleh berbagai pihak atas faktor negara ini adalah negara demokrasi.

“Tetapi kenapa Zakir diberikan layanan tidak adil dan jika ucapan beliau yang disalah gunakan (pihak tertentu) sehingga menjadikan maksud ucapannya di luar konteks, kita terus menghukum agar dia dihalau keluar dari Malaysia.

“Sedangkan ada banyak kenyataan lain yang lebih sensitif seperti kenyataan Dong Zong, isu penghinaan tentera, kenyataan bahawa bangsa Melayu pendatang dan banyak lagi. Tetapi hanya satu pihak sahaja yang dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata, di dalam Islam, penguasa yang sedang dalam emosi tidak dibenarkan membuat keputusan atau fatwa dan beliau berharap kemelut yang melanda ketika ini berlalu dengan cepat.

Berita Harian X