Khamis, 15 Ogos 2019 | 9:10pm
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hasutan perkauman: KDN akan bertindak tegas

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman negara termasuk di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kenyataan dibuat mana-mana individu, termasuk dari individu bukan warganegara.

Katanya, semua pihak perlu berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian.

“Sebaliknya perlu menunggu laporan penuh pihak berkuasa sebelum membuat ulasan mengenai sesuatu kejadian.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai komen perkauman, fitnah atau hasutan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk menghantar skrin tangkap layar kepada polis.

Menyentuh penyebaran berita palsu dan kenyataan berbaur perkauman beberapa individu dan pertubuhan yang tersebar sebelum ini, Muhyiddin berkata, polis sedang mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Katanya, polis akan memanggil badan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong); Ahli perniagaan, Koon Yew Yin dan penceramah, Dr Zakir Naik untuk disoal siasat.

“Langkah ini ekoran beberapa laporan polis sudah dibuat ke atas mereka dan siasatan sedang dijalankan.

“Setakat ini, beberapa individu lain juga dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian polis.

“Tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa yang terbabit mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti mencukupi,” katanya.

Berita Harian X