Khamis, 15 Ogos 2019 | 1:04pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melancarkan Pameran Perdagangan Satelit Wecommerce Lazada 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kajian pasaran sektor makanan dibentang di Kabinet, semalam

KUALA LUMPUR: Kajian Pasaran Sektor Makanan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) dibentangkan kepada Kabinet, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menteri terbabit dalam sektor itu mengambil berat terhadap laporan berkenaan.

Katanya, ini termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang memberi jaminan melakukan penambahbaikan perkara di bawah kementeriannya.

“Saya membentangkan Kajian Pasaran Sektor Makanan oleh MYCC kepada jemaah menteri semalam dan Kabinet mengambil maklum mengenainya,” katanya kepada media selepas melancarkan Pameran Perdagangan Satelit Wecommerce Lazada 2019 di sini, hari ini.

MYCC dalam laporannya baru-baru ini mendapati penguasaan pasaran ikan oleh kartel, kegiatan menyewa permit import (AP) kubis, jualan lot niaga borong sehingga RM1.3 juta, kebergantungan kepada negara sumber yang terhad serta kekurangan produk tempatan, menjadi punca kenaikan harga bekalan makanan utama rakyat negara ini.

Kajian MYCC juga mendapati wujudnya salah laku dalam AP untuk mengimport kubis bulat apabila ada antara mereka hanya mengambil keuntungan ‘atas angin’ dengan menyewakan permit itu kepada peniaga lain.

Mengenai subsidi petrol bersasar kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), beliau berkata, ia pada peringkat akhir kajian dan akan diumumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Ia mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk persatuan pengguna, Bank Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya akan membuat pengumuman mengenainya dalam tempoh terdekat sebaik keputusan mengenainya dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, hanya 3,000 peniaga barangan dan perkhidmatan dalam talian di negara ini yang sudah mendaftar dan mempunyai persijilan digital ‘BizTrust’ sejak diperkenalkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun lalu.

Katanya, meskipun ia bukan satu kewajipan, namun peniaga seharusnya merebut peluang itu kerana ia mengiktiraf perniagaan yang dijalankan adalah sah.

Beliau berkata, syarikat yang ada trademark BizTrust diyakini tidak akan melakukan penipuan dan pengguna dapat menggunakan perkhidmatan mereka serta berurus niaga dengan yakin.

“Ia secara tidak langsung dapat mengelak berlakunya penipuan kerana kita menerima kira-kira 2,500 aduan membabitkan kes penipuan e-dagang setiap bulan.

“Setakat ini, aduan paling banyak ialah barang diterima berbeza dengan tempahan dibuat dan barangan sudah rosak ketika sampai kepada pengguna,” katanya.

Berita Harian X