Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:16am
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA

Nora Anne: Agong, Permaisuri ucap takziah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada ibu bapa serta keluarga mendiang Nora Anne Quoirin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berdua dukacita selepas mendapat perkhabaran mengenai kematian gadis berkenaan.

Beliau berkata baginda berdua turut menyatakan penghargaan atas sokongan membabitkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dari Britain, Perancis, Ireland dan Malaysia termasuk sukarelawan yang sanggup membantu keluarga berkenaan ketika dalam kesusahan.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berdukacita apabila mendengar berita mengenai kematian gadis, Nora Anne Quoirin.

“Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada ibu bapa, adik beradik dan seluruh keluarga Nora.

“Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan dan berterima kasih atas sokongan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Britain, Perancis, Ireland dan Malaysia termasuk sukarelawan yang membantu, bersolidariti dan berdoa untuk keluarga berkenaan ketika mereka dalam kesusahan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata baginda berdua turut mengingatkan orang awam supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung apa yang berlaku sehingga siasatan polis selesai.

484 dibaca
Berita Harian X