Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:32pm
Rina berucap pada Majlis Perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang Srikandi BERSATU di Amcorp Mall, Petaling Jaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Keputusan PM dibuat secara konsensus, bukan bersendirian - Rina

PETALING JAYA: Semua keputusan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk hasrat memperkenalkan seni khas dan tulisan Jawi bagi mata pelajar Bahasa Melayu Tahun 4, tidak seharusnya dipertikaikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ia berikutan semua keputusan dibuat Perdana Menteri adalah secara konsensus, yang dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat minggu Kabinet.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana pihak di luar Kabinet, khususnya mereka yang sering membuat pertikaian sebelum ini agar berhenti berbuat demikian.

“Yang banyak bercakap dan mempertikaikan pengumuman Tun Dr Mahathir (Mohamad) adalah pihak berada di luar Kabinet kerana mereka tidak memahami apa yang berlaku.

“Berhentilah mempertikaikan keputusan Perdana Menteri kerana setiap keputusan itu diputuskan bersama Jemaah Menteri. Jangan biarkan isu ini menjadi punca perpecahan dan menggugat keharmonian kaum, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di perkarangan Amcorp Mall, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU diminta mengulas pendirian sayap parti itu terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menentang pengenalan seni khat dan tulisan Jawi.

Semalam, Dr Mahathir menganggap Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Mengenai Dong Zong, Rina berkata, beliau tidak mengenali pemimpin pertubuhan itu dan tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.

“Saya pernah belajar tulisan Jawi dengan rakan bukan Islam dulu dan mereka tidak menukar agama kerana subjek itu. Perjanjian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pun menggunakan tulisan Jawi,” katanya.

Mengenai kenyataan penceramah Dr Zakir Naik yang dilaporkan mendakwa masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir, Rina berkata, ia ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, namun beliau enggan mengulas mengenainya.

Dua menteri Kabinet hari ini mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, dalam satu kenyataan bersama, berkata isu menyelubungi Dr Zakir yang menimbulkan kontroversi, termasuk ceramahnya di Kota Bharu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Berita Harian X