Rabu, 14 Ogos 2019 | 5:42pm
ANGGOTA polis mengawal perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan untuk proses bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Proses bedah siasat Nora Anne dijangka siap 2 jam lagi

SEREMBAN: Proses bedah siasat mayat Nora Anne Quoirin bagi mengetahui punca sebenar kematian, dijangka selesai dalam tempoh dua jam lagi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman, berkata laporan itu akan dimaklumkan pada sidang media yang dijangka diadakan jam 8 malam ini.

“Ketika ini proses bedah siasat masih berjalan dan dijangka siap dua jam lagi. Sidang media dijangka diadakan jam 8 malam ini jika proses bedah siasat selesai,” katanya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, hari ini.

Terdahulu lebih 50 pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu sidang media yang dijadual diadakan pada jam 5 petang di hadapan Jabatan Forensik.

Mayat Nora Anne dibedah siasat oleh Pakar Patologi Kanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mulai jam 10 pagi tadi dan kini sudah berlarutan selama tujuh jam.

Petang semalam mayat remaja itu ditemui di kawasan lurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang 4 Ogos lalu.

Berita Harian X