Rabu, 14 Ogos 2019 | 4:14pm
GOBIND Singh Deo dan M Kulasegaran.

2 menteri mahu larangan dikenakan terhadap Zakir Naik

PUTRAJAYA: Dua menteri Kabinet hari ini mahu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, tidak lagi dibenarkan mengadakan ceramah dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, dalam satu kenyataan bersama, berkata isu menyelubungi penceramah Dr Zakir yang menimbulkan kontroversi termasuk ceramah di Kota Bharu, Kelantan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Kami menyatakan pendirian bahawa tindakan perlu diambil, yang mana Dr Zakir tidak boleh dibenarkan untuk terus berada di Malaysia.

“Perdana Menteri mengambil maklum kebimbangan kami ini. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan kedudukan dan membuat keputusan dengan segera apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Gesaan yang dimuat naik di laman Facebook menteri berkenaan turut menyatakan kebimbangan berkenaan ucapan Dr Zakir yang kontroversi.

“Justeru, kami membantah sebarang ceramah atau acara membabitkan Dr Zakir diadakan di negara ini atau pengeluaran sebarang kenyataan yang boleh memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam,” katanya.

Semalam, ketika ditanya gesaan Kulasegaran yang mahu Zakir diusir serta merta kerana mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu di negara ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak boleh berbuat demikian kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah itu.

Namun, katanya, jika ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, mereka dialu-alukan berbuat demikian.

6223 dibaca
Berita Harian X