Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:38pm
PENGASAS Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub menyampaikan sumbangan kepada Setiausaha Surau Al Huda Utusan Melayu Malaysia Berhad, Saifulizam Mohamed (tiga, kanan) bagi membantu dan meringankan beban sahabat di Utusan Malaysia ketika hadir ke Taklimat Sinergi Media Malaysia Sempena Malaysia #QuranHour 1440M/2019 di Bangunan Sinar Harian, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd Seksyen 15 Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

10 ayat pertama, terakhir Al-Kahfi untuk Malaysia #QuranHour

SHAH ALAM: Sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir Surah Al-Kahfi menjadi surah pilihan bagi Malaysia #QuranHour 1440H/2019 sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 yang bakal berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, pada 30 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, berkata Malaysia #QuranHour kali ini istimewa, kerana bacaan surah itu akan diperdengarkan barisan qari yang menjadi johan pertandingan peringkat antarabangsa.

“Sebanyak 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Al-Kahfi dipilih sebagai panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran.

“Kita juga perlu bersatu membentuk ummah berbudi dan penyayang, dengan membawa pesan kemerdekaan daripada al-Quran dalam menangani serta melahirkan rumusan terhadap cabaran akhir zaman.

“Kita harap usaha menghayati kandungan al-Quran ini akan menjadi rumusan ke arah kesejahteraan ummah seluruhnya.

“Sesi pengisian ini diikuti dengan Resolusi Al-Kahf, Pesan Kemerdekaan oleh tokoh dan diakhiri dengan doa untuk Malaysia,” katanya selepas Majlis Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour 1440H/2019 di Seksyen 15 di sini, hari ini.

Marhaini berkata, beberapa kelainan dibawakan kali ini, termasuk pemilihan lokasi perdana di Masjid Putra itu.

“Malaysia #QuranHour akan bermula pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat di masjid berkenaan, malah rakyat Malaysia di dalam dan luar negara turut berinteraksi pada hari dan waktu sama di tempat masing-masing.

“Lebih istimewa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penaung dan peneraju bagi Malaysia #QuranHour menjadikan Malaysia #QuranHour sebagai agenda nasional, untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran sebagai panduan kehidupan.

“Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya, menyambut baik tema ‘Pesan Kemerdekaan Surah Al-Kahf’ yang bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata, seperti tahun sebelum ini, program Malaysia #QuranHour itu terbuka kepada orang ramai dan pihaknya menjangka 7,000 orang menyertainya di Masjid Putra nanti.

Katanya, mereka yang ingin menyertai dan menganjurkan aktiviti berinteraksi al-Quran boleh mendaftarkan diri di http://bit.ly/MQH1440H atau melayari Facebook World #QuranHour.

“Kira-kira 30 media massa dan media elektronik juga menjayakan sinergi media Malaysia #QuranHour 1440H/2019 hari ini (semalam).

“Antaranya BERNAMA, Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, BERNAMA News Channel (BNC), TV Alhijrah, TVIkim & IKIMfm, Media JAKIM, Kumpulan Utusan dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP),” katanya.

640 dibaca
Berita Harian X