Rabu, 14 Ogos 2019 | 12:48pm

Keluarga Nora Anne ucapkan terima kasih

KUALA LUMPUR: Keluarga Nora Anne Quoirin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus mencari remaja Ireland yang hilang itu sejak berita kehilangannya dilaporkan media sejak 4 Ogos lalu.

Menganggap pemergian Nora Anne sebagai satu menyedihkan, keluarganya juga menyifatkan kehilangannya berjaya mengukuhkan ikatan kasih sayang antara mereka.

“Dia gadis cukup berharga, paling berharga dan kami sangat menyayanginya. Tindakan yang diambilnya tidak dapat kami tanggung. Hati kami patah...

“Kami akan sentiasa menyayangi Nora,” katanya dalam entri di akaun Facebook - Lucie Blackman Trust, hari ini.

Dalam kenyataan sama itu, keluarganya begitu menghargai usaha dilakukan semua pihak termasuk pihak keselamatan dan penduduk tempatan yang terus berusaha mencari Nora Anne.

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada penduduk setempat di sini dan semua pihak yang mendoakan dan terus memberi sokongan pada masa ini.

“Nora sudah membawa orang ramai, terutamanya dari Perancis, Ireland, Britain dan Malaysia, menyatukan kasih sayang dan sokongan mereka terhadap dirinya dan keluarganya. (Kehilangan) dia benar-benar menyentuh (hati) seluruh masyarakat dunia,” katanya.

Katanya, buat semua rakan dan keluarganya pula, mereka tidak dapat menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan dan kasih sayang yang diberikan sepanjang tempoh sukar ini.

Semalam, keluarga Nora mengesahkan mayat perempuan yang ditemui pada jam 1.57 tengah hari semalam adalah remaja Ireland yang dilaporkan hilang di sebuah pusat peranginan di Pantai, di sini sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata pengesahan itu diperoleh selepas anggota keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

5382 dibaca
Berita Harian X