Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:43pm
KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) susulan penemuan mayat wanita kulit putih di lokasi pencarian mangsa yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. NSTP/Adzlan Sidek

Nora Anne: Keluarga sahkan identiti mayat - KP Negeri Sembilan

SEREMBAN: Keluarga Nora Anne Quoirin mengesahkan mayat perempuan yang ditemui pada jam 1.57 tengah hari tadi adalah remaja Ireland yang dilaporkan hilang di sebuah pusat peranginan di Pantai, di sini sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata pengesahan itu diperoleh selepas anggota keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah remaja berkenaan. Proses bedah siasat akan dijalankan oleh pakar patologi kanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 10 pagi esok,” katanya pada sidang media, di sini malam ini.

AHLI keluarga kepada remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang tiba di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) susulan penemuan mayat wanita kulit putih di lokasi pencarian mangsa yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. NSTP/Iqmal Haqim Rosman

AHLI keluarga kepada remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang tiba di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.

Beliau ketika mengulas lanjut, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi SAR belum dihentikan lagi untuk membantu kita menjalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat (sahkan mayat Nora),” katanya.

Berita Harian X