Selasa, 13 Ogos 2019 | 7:12pm
KETUA Menteri, Adly Zahari (tengah) pada sidang media Program Ramah Mesra bersama Geng Viral Melaka di The Balairong, Tasik Ayer Keroh. NSTP/Khairunisah Lokman

Runding, bincang selesaikan isu tulisan Jawi

MELAKA: Salah faham mengenai seni khat dan tulisan Jawi khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu wajar ditangani melalui rundingan serta perbincangan, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi memastikan seni penulisan warisan itu tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu, seterusnya menepati tujuan dan matlamat untuk penjagaannya pada masa depan.

“Paling penting Kementerian Pendidikan sudah mengemukakan pandangan mereka. Kita mengharapkan supaya warisan kita (tulisan Jawi) ini tidak dipolitikkan.

“Malah, melalui perundingan dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta Kementerian Pendidikan itu yang lebih baik, seterusnya lebih banyak perbincangan dapat dibuat bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Adly berkata, tindakan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu berkenaan boleh mengundang persepsi berbanding matlamat untuk pengenalan seni warisan berkenaan.

“Pengenalan seni khat dan tulisan Jawi ini bagi memenuhi tujuan kita iaitu penjagaan warisan. Ini adalah suatu yang cukup penting,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir turut menyifatkan pertubuhan itu sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Kebimbangan Dong Zong itu susulan cadangan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk murid Tahun Empat di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan bermula tahun depan.

Berita Harian X