Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:07pm
Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Tindakan label Dong Zong rasis adalah salah - Kit Siang

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis adalah tindakan salah.

Mengambil pendekatan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut menyuarakan pendirian bahawa Dong Zong tidak patut melemparkan dakwaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) ialah sebahagian usaha pengislaman.

Beliau berkata, kedua-dua insiden ini mencerminkan tahap kekeliruan yang menyelubungi polemik pengenalan tulisan khat untuk pembelajaran SJKC dan SJKT.

“Saya berada di Chennai, Salem, Bangalore dan New Delhi ketika kontroversi subjek khat ini tercetus, malah buat kali pertama diberikan perincian berhubung isu berkenaan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sempena perhimpunan ahli DAP Melaka, semalam (kelmarin).

“Ada teori konspirasi kononnya kontroversi khat ini dicipta, sama ada oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atau Perdana Menteri demi merealisasikan agenda politik mereka.

“Bagaimanapun, hakikat sebenarnya ialah kontroversi khat berpunca daripada legasi kerajaan terdahulu memandangkan keputusan memuktamadkan perkara ini diterajui Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan menteri dan dua timbalan menteri menerusi mesyuarat pada 30 September 2015.

“Nie Ching hanya mengetahui mengenai perkara ini apabila kontroversi (pengenalan khat) tercetus bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan menganggap Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Beliau berkata, sikap sama Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakular, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Dong Zong sebelum ini dilaporkan menggerak usaha mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan khat yang dianggap langkah Islamisasi terhadap bukan Melayu di negara ini.

Kit Siang berkata, langkah Kementerian Pendidikan membuka ruang perbincangan berhubung isu pengenalan tulisan khat untuk SJKT dan SJKC supaya pertimbangan berkaitan berupaya dilaksana wajar dimanfaatkan semua pihak.

“Saya mengambil maklum kenyataan Kementerian Pendidikan yang pihaknya masih menerima pandangan pelbagai pihak bagi memastikan pertimbangan seadilnya diberikan (dalam isu pengenalan tulisan khat).

“Ini isyarat bahawa Kementerian Pendidikan mengambil sikap terbuka dan berlapang dada dalam menerima maklum balas pihak berkaitan,” katanya.

Berita Harian X