Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:02pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap ketika hadir pada pada Majlis Ramah Mesra Penduduk Kedawang sempena Majlis Korban di Masjid Ar-Rahman Kedawang. - Foto BERNAMA

Tindakan tegas pihak ceroboh PKKN - PM

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang didapati masih menceroboh tanah di kawasan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).

Perdana Menteri berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kegiatan berkenaan dan mengakui berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak terbabit.

“Kita akan ambil balik kawasan berkenaan, orang ini tahu mereka tidak boleh masuk ke kawasan yang diharamkan, tetapi masuk juga.

“Jadi kita akan bertindak mengikut undang-undang ke atas sesiapa saja yang melanggarnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Daging Korban di Masjid Al Huda, Padang Mat Sirat di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan kawasan PNNK dibangunkan, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan melihat jika terdapat keperluan membangunkan kawasan itu semula mengikut kesesuaian pada masa depan.

BH hari ini, melaporkan berlaku pencerobohan di PKKN membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan majoriti dari Indonesia dan sebahagian kecil warga Bangladesh yang mengusahakan perusahaan penanaman rumput serta nurseri.

Malah, tinjauan juga mendapati terdapat kediaman bekas pesakit kusta di PKKN didiami warga asing yang menceroboh kawasan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu terbabit dan meminta bahagian pembangunan mengemukakan perkembangan semasa status premis PKKN.

Selain itu, katanya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Chen Chaw Min dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan, esok.

Berita Harian X