Isnin, 12 Ogos 2019 | 12:04pm

Badan Khairat NSTP santuni asnaf sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR: Badan Kebajikan dan Khairat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) berkongsi kemeriahan sambutan Aidiladha dengan mengorbankan tujuh ekor lembu di Balai Berita, di sini, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata ibadah korban itu adalah acara tahunan NSTP dan program kali ini disertai 40 orang termasuk ahli jawatankuasa Badan Khairat dan sukarelawan NSTP yang bergotong-royong melapah daging, menimbang serta mengagihkannya kepada asnaf terpilih.

Beliau yang juga Pengarang Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH berkata, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut menyumbang 120 kampit beras, manakala Harian Metro menyampaikan barang keperluan harian kepada golongan asnaf yang dijemput khas memeriahkan majlis berkenaan.


AHMAD Zaini (dua kanan) bersama Shafirulnizam (tengah) dan Mohd Hisham (dua kiri) menyampaiakan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim pada majlis Ibadah Qurban Badan Khairat NSTP. NSTP/Zunnur Al Shafiq


SUKARELAWAN NSTP bergotong-royong melapah daging di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq


SUKARELAWAN NSTP bergotong-royong melapah daging di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq


SUKARELAWAN NSTP bergotong-royong melapah daging di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

“Lima ekor lembu adalah sumbangan kakitangan NSTP, manakala masing-masing seekor lembu sumbangan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan syarikat Madness Film,” katanya selepas majlis agihan daging korban di Balai Berita, hari ini.

Daging korban berkenaan diagihkan kepada Darul Furqan, Gombak dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), selain diberikan kepada orang miskin, anak yatim dan ibu tunggal sekitar Lembah Klang.

Majlis penyampaian sumbangan daging korban itu disertai Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Risiko dan Governan Media Prima, Mohd Hisham Shazli dan Ketua Pegawai Eksekutif Madnes Film, Shafirulnizam Haron.

Turut hadir, Setiausaha Badan Khairat NSTP, Zamanuddin Jusoh, yang menyertai program melapah dan mengagihkan daging lembu berkenaan.

PENGARANG Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mednes Filem, Shafirulnizam Haron dan Pengurus Besar Kumpulan Bahagian Pengurusan Risiko Media Prima, Mohd Hisham Shazli bergambar bersama penerima sumbangan selepas penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim pada majlis Ibadah Qurban Badan Khairat NSTP. NSTP/Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X