Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:44am
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Agong, Pemangku Raja Pahang solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.

Baginda tiba pada jam 8.30 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Yang turut hadir Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Abdul Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin serta barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang lain.

Kira-kira 2,000 penduduk sekitar daerah Kuantan menunaikan solat sunat Aidiladha diimamkan Imam 1 Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Mohd Khalil Mohd Zari, diikuti khutbah disampaikan Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Alauddin.

Baginda kemudiannya meluangkan masa kira-kira 30 minit bersalaman dengan hadirin sebelum melakukan tinjauan di lokasi penyembelihan lembu korban di perkarangan masjid berkenaan.

Sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah bagi meraikan sambutan Aidiladha tahun ini.


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

882 dibaca
Berita Harian X