Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:09am
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menunjukkan buku Bahasa Melayu darjah lima yang terdapat tulisan jawi untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) ketika sidang media selepas mengadakan sesi walkabout di pekan Kangkar Pulai, Skudai. - Hairul Anuar Rahim

Jangan takut tulisan Jawi - Kit Siang

ISKANDAR PUTERI: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas pihak yang terus menakut-nakutkan masyarakat bukan Melayu berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat.

Kit Siang berkata, ketakutan segelintir masyarakat bukan Melayu itu bukan sahaja tidak berasas, malah akan membantutkan usaha kerajaan mengintegrasikan rakyat berbilang kaum.

“Masyarakat kita sebenarnya sudah terperangkap dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menakut-nakutkan orang bukan Melayu terhadap seni khat dan tulisan Jawi.

“Saya dituduh menjadi ‘jembalang’ kerana bersetuju dengan pengenalan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah sedangkan ketakutan ini sangat tidak berasas sama sekali.

“Dulu orang Melayu menuduh saya mahu menghapuskan hak orang Bumiputera, kini orang Cina pula menuduh saya mahu menghapuskan budaya masyarakat Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan mesra bertemu penduduk di Pekan Kangkar, dekat sini, hari ini.


Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (kanan) beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan sesi walkabout di pekan Kangkar Pulai, Skudai. -Foto Hairul Anuar Rahim

Malam tadi, Kit Siang dilaporkan menerima layanan agak kasar pada acara perayaan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival) di sini, apabila menerima gangguan dan ejekan orang ramai ketika sedang berucap pada acara itu.

Penganjur acara berkenaan dipetik berkata, masyarakat bukan Melayu tidak berpuas hati berikutan isu cadangan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk murid Tahun Empat di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.

Sementara itu, Kit Siang berkata, beliau berpandangan seni khat dan tulisan Jawi mampu mengintegrasikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kenapa perlu takut seni khat dan tulisan Jawi kerana ia hanyalah satu aktiviti dan tidak dimasukkan dalam peperiksaan apatah lagi mahu menghapuskan mana-mana budaya bangsa masyarakat kita.

“Masyarakat kita sudah tidak lagi boleh hidup secara berasingan dan perlu berintegrasi supaya perpaduan kaum akan lebih kukuh, ” katanya.

2514 dibaca
Berita Harian X