Jumaat, 9 Ogos 2019 | 8:35pm
SETIAUSAHA Agung NUJ Malaysia, Chin Sung Chew (tengah) bersama Setiausaha NUJ cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar (kiri) dan Bendahari Pusat NUJ Malaysia, Baharuddin Yaacob pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

NUJ Utusan lancar tabung bantu ahli

KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan hari ini merayu sumbangan ikhlas bagi membantu meringankan beban kira-kira 250 ahli kesatuan kalangan wartawan, jurugambar dan artis grafik yang tidak mendapat bayaran gaji sejak dua bulan lalu.

Setiausaha NUJ cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar, ketika melancarkan Tabung Prihatin NUJ Utusan, berkata sumbangan boleh dimasukkan ke akaun CIMB National Union of Journalists - 8000367100.

Katanya, keadaan semakin kritikal apabila sebilangan pekerja terbabit terpaksa meminjam daripada Along dan bergolok gadai bagi menanggung keluarga.

“Ahli kami kini diburu bank kerana kelewatan pembayaran gaji sejak awal tahun dan keadaan bertambah buruk apabila ahli kesatuan tidak mendapat gaji bulan lalu.

“Bagi pekerja eksekutif masalah gaji dirasai sejak Jun lalu dan kelewatan gaji sejak awal tahun ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung NUJ Malaysia, Chin Sung Chew dan Bendahari Pusat NUJ Malaysia, Baharuddin Yaacob.

Sementara itu, Sung Chew berkata NUJ cawangan Utusan merancang mengadakan piket pada 19 Ogos ini petang kerana pelanggaran tatacara perjanjian bersama iaitu lewat membayar gaji.

“Saya percaya tindakan majikan tidak membayar gaji sebagai satu usaha untuk memberi tekanan kepada pekerja berhenti sendiri tanpa mendapat sebarang pampasan,” katanya.

Berita Harian X