Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:12pm
Saksi, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussain hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Lebih 1,000 dokumen diterima dalam siasatan SRC

KUALA LUMPUR: Lima saksi meninggal dunia sepanjang siasatan kes ‘SRC International’ membabitkan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diberitahu Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussain, pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini.

Rosli yang juga saksi pendakwaan ke-57, berkata saksi itu adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri (ketika itu Najib), Datuk Azlin Alias; bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Noriah Ahmad; bekas pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman; Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Ahmad Norhisham Hassan; dan seorang individu dikenali Izzat Izairi Osman.

Rosli berkata, siasatan kes itu bermula pada tahun 2015 itu membabitkan dokumen yang amat banyak melebihi 1,000 dokumen yang diperoleh daripada bank dan institusi kewangan serta syarikat.

Beliau berkata, dokumen yang diperoleh itu antaranya daripada KWAP, SRC, Ihsan Perdana Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan kementerian berkaitan serta bank dan institusi kewangan.

Katanya, siasatan yang bermula pada 6 Julai 2015 itu turut dibantu oleh pegawai SPRM lain termasuk daripada cawangan SPRM di setiap negeri.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, pada sesi pemeriksaan utama, saksi berkata, antara pegawai yang turut membantu sepanjang siasatan adalah pegawai daripada bahagian operasi khas, forensik perakaunan dan siasatan.

“Siasatan kes SRC ini adalah lanjutan daripada laporan yang dibuat pada 3 Julai 2015,” katanya.

Ishak: Siapa yang membuat laporan?

Rosli: Laporan dibuat oleh Penolong Pesuruhjaya SPRM, Prem Raj.

Ishak: Prem Raj daripada bahagian mana di SPRM?

Rosli: Prem Raj pegawai dari bahagian forensik perakaunan.

Ishak: Siasatan kes SRC yang kamu lakukan mengikut akta apa?

Rosli: Siasatan yang dibuat adalah mengikut Akta SPRM iaitu di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUA) dan Kanun Keseksaan.

Ketika ditanya sama ada Prem Raj ada berjumpanya untuk menyerahkan dokumen berkaitan SRC pada 6 Julai 2015, Rosli menjawab, “Ada.”

Rosli berkata, dalam perjumpaan itu, Prem Raj menyerahkan tiga buku setiausaha syarikat iaitu masing-masing dua untuk SRC dan sebuah lagi milik Gandingan Mentari.

“Semua dokumen yang diterima adalah untuk siasatan awal.

“Buku setiausaha SRC yang diperoleh itu mengandungi minit mesyuarat pemegang saham dan surat pelantikan,” katanya.

Berita Harian X