Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:54pm
Tze Tzin (kanan) melihat proses pemeriksaan lembu korban di sebuah stesen kuarantin haiwan hari ini. - Foto BERNAMA

Haiwan ternakan import untuk korban dijamin bebas FMD

BUKIT KAYU HITAM: Haiwan ternakan import yang akan dijadikan korban pada Aidiladha dijamin bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD), kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, semua haiwan terbabit seperti lembu, kerbau dan kambing yang diimport perlu melalui proses kuarantin 14 hari di negara asal dan 14 hari di negara ini bagi memastikan bebas daripada wabak FMD.

Katanya, kerajaan sangat tegas dalam urusan membawa masuk haiwan import dan hasil pertanian ke dalam negara bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

“Seperti yang diberitahu oleh Menteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub sebelum ini, kita membawa masuk lembu import untuk ibadah korban tiga bulan lebih awal.

“Jika ada yang dikesan terdapat tanda-tanda penyakit itu, maka haiwan itu akan dikuarantin hinggalah ia disahkan bebas daripada FMD oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum diedarkan,” katanya selepas melawat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah MAQIS, Saiful Yazan Alwi.

Sementara itu, Tze Tzin berkata, MAQIS merampas 3.9 tan produk dan daging babi sejak Januari hingga Julai lalu seluruh negara.

Katanya, rampasan itu terdiri daripada dua tan daging babi dan 1.9 tan produk babi yang cuba diseludup melalui pintu sempadan negara.

“Bagaimanapun selepas sampel diambil dan melalui ujian makmal mendapati semua produk itu bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF),” katanya.

Tze Tzin berkata, kerajaan telah mengeluarkan arahan larangan pengimportan sementara ke atas babi dan produk berasaskan haiwan itu dari negara yang berjangkit seperti China, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium sejak 12 November tahun lalu bagi mengekang penularan ASF.

Berita Harian X