Khamis, 8 Ogos 2019 | 4:13pm
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Saya tiada hak tolak usul kerajaan - Ng Suee Lim

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak sebarang usul yang mahu dibahaskan.

Susulan itu, Suee Lim berkata, isu kononnya beliau menyekat usul membabitkan penukaran agama bagi anak bawah umur seperti yang didakwa pembangkang, tidak timbul.

“Sebagai Speaker, saya hanya terbabit dengan pengendalian Dewan seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat.

“Usul daripada kerajaan datang daripada pejabat Menteri Besar sebagai kuasa Eksekutif dan saya di pihak Legislatif tidak boleh menolak atau menerima usul berkenaan.

“Jika usul persendirian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Speaker mempunyai hak mempertimbangkan sama ada diluluskan atau ditolak, sebelum dibawa ke Dewan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail semalam, bahawa Suee Lim sepatutnya meneruskan usul itu supaya dapat dibahaskan pada sidang DUN minggu lalu.

Portal berita Malaysiakini semalam melaporkan, Menteri Besar, Amirudin Shari, dijadualkan berjumpa pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri ketika kerajaan negeri pimpinannya dikatakan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Hasnizam Adham memberitahu Malaysiakini mesyuarat itu akan diadakan di kediaman menteri besar di Shah Alam petang ini.

Sementara itu, ditanya dakwaan ada gerakan untuk menyingkirkannya susulan isu berkenaan, Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan berkata, beliau tidak akan melayan khabar angin itu kerana beliau sudah bertindak mengikut Peraturan Mesyuarat sidang DUN Selangor.

Bagaimanapun, Suee Lim mengakui beliau mendengar khabar angin itu mulai bertiup selepas sidang DUN Selangor ditangguhkan Rabu lalu.

Berita Harian X