Khamis, 8 Ogos 2019 | 3:58pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, ketika sidang media mengenai tulisan khat di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tulisan khat dilaksanakan secara pilihan - Maszlee

PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil diteruskan seperti dirancang dengan beberapa

langkah penyesuaian.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Kabinet juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

“Kabinet dalam keputusannya memaklumkan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu.

“Selain itu, jemaah menteri juga sepakat bersetuju supaya pengenalan tulisan khat ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

“Kementerian Pendidikan berharap dengan keputusan dibuat ini, isu pengenalan tulisan khat tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Maszlee berkata, pengenalan tulisan khat itu sebahagian daripada aktiviti dalam subjek Bahasa Melayu, selain bagi memperkenalkan warisan bahasa Melayu itu sendiri.

Ditanya jika ada murid enggan mempelajari tulisan khat berkenaan, beliau berkata, perkara itu terserah kepada guru yang diberi tanggungjawab.

“Jadi terpulang kepada guru untuk menggunakan kreativiti mereka dalam aktiviti ini.

“Tulisan ini bukan sesuatu yang asing dalam warisan budaya negara kita, jata negara ada tulisan jawi, wang kertas pun ada, jadi ia bukan sesuatu yang baharu atau cuba untuk ‘arabisasi’ atau ‘islamisasi’ murid,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.

Perdana Menteri berkata, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa.

1699 dibaca
Berita Harian X