Khamis, 8 Ogos 2019 | 2:40pm
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) menerima cenderahati daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas merasmikan 'Siri Seminar Persaingan 2019': Katakan Tidak Kepada Tipuan Bida' anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia MyCC, KPDNHEP hari ini. - Foto BERNAMA

KPDNHEP akan bawa hasil kajian MYCC kepada jemaah menteri

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membawa hasil Kajian Pasaran Sektor Makanan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) kepada jemaah menteri untuk makluman serta dibincangkan bagi tindakan selanjutnya.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebarang arahan seterusnya termasuk keputusan diambil akan dibuat selepas perbincangan itu.

“Saya akan membawa hasil kajian ini kepada pengetahuan jemaah menteri sebagai makluman kepada mereka.

“Di situ saya percaya ia akan dibincangkan dan sebarang keputusan akan dibuat selepas itu jika (dalam perbincangan) itu memerlukan penambahbaikan mana-mana agensi terbabit. Mungkin daripada penemuan (hasil kajian) itu, ada elemen memerlukan teguran dan penambahbaikan.

“Ini kerana ia tidak boleh berakhir dengan hanya satu pembentangan saja, tetapi harus disusuli dengan tindakan. Sebab itu saya akan bawa untuk pengetahuan jemaah menteri seterusnya mengambil arahan daripada situ,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Persaingan 2019: Katakan Tidak Kepada Tipuan Bida, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan seminar sehari itu yang turut dihadiri Pengerusi MYCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Kajian Pasaran Sektor Makanan oleh MYCC yang mendapati pelbagai kepincangan hingga menyebabkan kenaikan harga barangan.

MYCC dalam laporannya mendapati penguasaan pasaran ikan oleh kartel, kegiatan menyewa permit import (AP) kubis, jualan lot niaga borong sehingga RM1.3 juta, kebergantungan kepada negara sumber yang terhad serta kekurangan produk tempatan, menjadi punca kenaikan harga bekalan makanan utama rakyat negara ini.

Kajian MYCC juga mendapati wujudnya salah laku dalam AP untuk mengimport kubis bulat apabila ada antara mereka hanya mengambil keuntungan ‘atas angin’ dengan menyewakan permit itu kepada peniaga lain.

Mengenai sama ada AP akan dibatalkan susulan laporan kajian itu, Saifuddin berkata, keputusan membatalkan akan diputuskan selepas ia dibincangkan dengan jemaah menteri.

Mengenai subsidi petrol bersasar kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), beliau berkata, pengumuman mengenai bila pelaksanaan pemberian subsidi akan dibuat dalam masa terdekat ini.

“Semalam saya mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ketua setiausaha serta pegawai kanan berkaitan. Dalam masa terdekat, kita akan bentangkan kepada jemaah menteri untuk mendapat lampu hijau jika berpuashati dan jika tidak, mungkin ada beberapa pembetulan.

“Kita akan membuat pengumuman rasmi dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Berita Harian X