Rabu, 7 Ogos 2019 | 8:46pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Majlis Pelancaran Kongres Persatuan Urological Asia 2019 (UAA) di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC). NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Akta Kawalan Tembakau diserah ke Pejabat Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membanteras penggunaan produk tembakau secara haram, akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara hujung bulan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata akta itu mampu mengawal peningkatan penggunaan rokok haram di Malaysia, di samping produk tembakau lain seperti vape dan rokok elektronik.

“KKM sedang mengkaji dan merangka Akta Kawalan Tembakau yang lebih komprehensif dan holistik untuk mengawal produk tembakau rokok elektronik, shisha, vape dan lain-lain.

“Kita sasarkan untuk akta ini dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada hujung bulan ini harapan kami supaya ia dapat dibentangkan di Kabinet pada awal tahun depan.

“Ini bukti betapa kerajaan serius untuk tangani salah guna produk tembakau seperti rokok haram, vape dan rokok elektronik ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Persatuan Urologi Asia Ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengarah Urusan JT International Bhd (JTI Malaysia), Cormac O’Rourke, semalam, yang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak bertindak menangani rokok haram kerana jumlahnya meningkat berbanding tahun lalu.

O’Rourke dilaporkan berkata, penggunaan rokok haram dan vape bernikotin di Malaysia secara berleluasa menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM6 bilion daripada hasil cukai.

Beliau turut mendakwa kerajaan tidak memerlukan akta baharu untuk menangani produk seperti vape yang menggunakan nikotin kerana bahan kimia itu memang tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, meskipun KKM serius dalam usaha mengawal rokok haram dan vape, namun tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Berhubung penggunaan nikotin dalam vape, Dzulkefly berkata, pihaknya akan bertindak sekiranya terdapat aduan atau mengesan penjualan produk terbabit di pasaran.

“Kalau kita rampas, kita akan periksa dan jika terdapat nikotin, ia tak akan dibenarkan dijual lagi. Mana yang kita tahu, kita akan bertindak mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Berita Harian X