Rabu, 7 Ogos 2019 | 7:26pm
AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin menunjukkan perkembangan positif setiap hari. Foto FB Ahmad Safiuddin

Perkembangan positif Ainul Mardhiah beri harapan

KUALA LUMPUR: Perkembangan positif Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang selamat menjalani pembedahan di London bagi membuang ketumbuhan di mulut, memberi sinar harapan kepada ibu bapanya untuk melihat bayi mereka itu terus membesar secara normal.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata walaupun hampir setahun ulang-alik ke hospital untuk rawatan Ainul Mardhiah, mereka sudah biasa demi kesihatan bayi berkenaan.

“Alhamdulillah, Ainul Mardhiah kekal sihat dan menunjukkan perkembangan positif setiap hari. Sudah hampir setahun, kamu keluar masuk hospital, walid dengan mama sudah terbiasa.

“Janji kamu dapat sihat sepenuhnya anak. Besar harapan kami mahu melihat kamu membesar secara normal seperti bayi lain. Insya-Allah anak, masa kamu akan tiba nanti. Kamu akan menjadi anak yang bermanfaat dan membahagiakan kami.

“Sekarang, biar mama dan walid berbakti kepada kamu dulu sebab kamu adalah tanggungjawab kami. Apapun berlaku, mama dengan walid akan sentiasa berada di sisi Ainul.

“Kita sudah melalui bersama hampir setahun Ainul,” katanya melalui paparan dimuat naik dalam Facebook milik beliau, hari ini.

Ahmad Safiuddin turut menjangkakan beliau sekeluarga akan meraikan Aidiladha di hospital.

“Terus doakan Ainul supaya Allah memberi kesembuhan total buatnya.

“Nampak gayanya, tahun ini dua kali kita raya di hospital,” katanya.

Sebelum ini, Ainul Mardhiah berada di London lebih dua bulan sejak 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut.

1912 dibaca
Berita Harian X