Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:26pm
Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berucap pada 'Mercy Malaysia International Humanitarian Conference' (MMIHC) 2019 di Universiti Sunway hari ini. - Foto BERNAMA

Kaedah jimatkan kos kesihatan

PETALING JAYA: Pemerolehan berkelompok yang dicadangkan dalam penjagaan kesihatan di antara hospital awam dan swasta boleh membantu menjimatkan kos antara 40 dan 50 peratus dari segi ubat-ubatan dan perkhidmatan hospital dan membantu membawa masuk ubat-ubatan dalam jumlah yang lebih besar ke negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan sedang berbincang untuk menggabungkan hospital swasta dan awam dalam sistem pemerolehan berkelompok yang juga dapat mengurangkan kos pengurusan penjagaan kesihatan.

Katanya, pemerolehan berkelompok ini dilakukan dalam kalangan negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand dapat membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan di rantau Asia Tenggara.

Dr Noor Hisham berkata demikian dalam ucapan pleno pada Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa MERCY Malaysia (MMIHC 2019) di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan mekanisme pemerolehan berkelompok bagi ubat-ubatan penting bagi menangani isu monopoli yang meningkatkan kos ubat yang dibekalkan kepada hospital kerajaan.

Sementara itu, persidangan tiga hari dari 5 hingga 7 Ogos itu menyaksikan petugas program kemanusiaan dari seluruh dunia berbincang isu utama semasa dalam konteks kemanusiaan.

MMIHC 2019 bertujuan untuk mempromosikan dan memahami tindakan dan advokasi kemanusiaan dan dianjurkan oleh Mercy Malaysia di Universiti Sunway. – BERNAMA

290 dibaca
Berita Harian X