Selasa, 6 Ogos 2019 | 7:18pm
Nie Ching menerima memorandum berkenaan isu tulisan khat Jawi daripada Pengerusi Pertubuhan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Datuk Ong Chiow Chuen (tiga kiri) dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Datuk Tan Yew Sing (dua kanan) di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

12 NGO termasuk Dong Zong sokong perkenal tulisan khat Jawi

PUTRAJAYA: Sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil hari ini bersetuju secara konsensus dengan keputusan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT), mulai tahun depan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata persetujuan itu hanyalah pada tulisan seni khat sahaja dan bukannya pembelajaran tulisan Jawi.

Beliau berkata, pertubuhan berkenaan juga bersetuju bahawa murid yang mempelajari pengenalan khat itu nanti tidak akan diuji dalam peperiksaan.

"Saya berterima kasih kepada semua pertubuhan yang mengambil berat mengenai isu ini. Perjumpaan hampir dua jam bersama pertubuhan berkenaan hari ini sangat bermakna dan kita juga sudah mendapat kata sepakat mengenai isu ini.

"Malah, kami juga komited dengan saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk menambah baik Dokumen Standard Kurikulum Pendidikan (DSKP)," katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu wakil daripada 12 pertubuhan pendidikan berkenaan.

Semalam, pertubuhan berkenaan tidak bersetuju untuk memperkenalkan tulisan khat di sekolah rendah.

Media melaporkan, kumpulan berkenaan mendesak Kementerian Pendidikan terlebih dulu menyemak kandungan DSKP dan buku teks berhubung keputusan pengenalan pelajaran tulisan khat.

Tambahnya, tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid SJKC dan SJKT kerana tidak bertepatan dengan keperluan sebenar pembelajaran subjek itu.

Berita Harian X