Selasa, 6 Ogos 2019 | 3:35pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) menerima buku laporan MyCC daripada Datuk Sri Hishamudin Md Yunus (dua dari kanan) di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Penderma Food Bank dilindungi undang-undang

KUALA LUMPUR: Penaja, penderma dan pihak berkaitan Program Food Bank Malaysia akan dilindungi dengan akta khas apabila rang undang-undang mengenainya dibentangkan di Dewan Rakyat, akhir tahun ini.

Ketika ini, cadangan mewujudkan undang-undang baharu itu memasuki fasa akhir untuk diteliti Pejabat Peguam Negara, sebelum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ada beberapa aspek perlu diperkemaskan sebelum perkara itu dimuktamadkan.

“Ada beberapa (isu) yang hilang (tidak diberi perhatian), dalam aspek kawal selia.

“Kita perlu kawal dan melindungi pihak yang ambil bahagian dalam program Food Bank. Jika ada kecacatan iaitu mungkin penerima mahu ambil tindakan undang-undang, kita sudah bersedia,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada Mac lalu, Kementerian Kewangan meluluskan dana RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk menyediakan 14 lori dilengkapi pendingin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diberi tanggungjawab mengedarkan makanan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk pelajar universiti awam.

Sebelum itu, Saifuddin melancarkan laporan Kajian Pasaran Sektor Makanan yang dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), di sini.

Laporan setebal 336 muka surat itu dijalankan MyCC selama sembilan bulan dengan fokus lima isu kenaikan harga ikan kembung, daging, susu formula, sawi hijau dan kubis bulat.

Mengulas tindakan yang akan dilakukan berhubung laporan MyCC yang mendakwa wujud salah laku pemilik permit import (AP) sayur kubis bulat serta cadangan menurunkan harga bekalan, Saifuddin menegaskan perkara itu akan diberi perhatian segera.

“Bukan semua isu berada di bawah kementerian saya. Jadi, ia perlu dirujuk kepada kementerian berkaitan dan saya harap ia akan diterima dengan penuh semangat untuk meningkatkan kebolehupayaan.

“Kita akan sebarkan semua maklumat ini (laporan) kepada semua agensi kerajaan dan pemain industri berkaitan.

“Perkara ini (kenaikan harga barang) berkait rapat dengan rakyat, jadi mesti disegerakan,” katanya.

Berita Harian X