Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:46am
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) melancarkan Buku Laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC). - Foto BERNAMA

Wujud salah guna AP kubis bulat - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Wujud unsur penyalahgunaan Permit Kelulusan (AP) diberikan untuk mengimport kubis bulat yang menimbulkan isu persaingan dan menyebabkan harga sayur meningkat.

Salah guna itu dikesan menerusi dapatan Kajian Pasaran Sektor Makanan dikendalikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang diterbitkan hari ini selepas dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, kerajaan mengeluarkan AP untuk mengimport barang-barang yang bekalannya tidak mencukupi di pasaran termasuk kubis bulat yang bagaimanapun disalah guna pihak tertentu bagi mengaut keuntungan.

“Ada pengimport terpaksa menggunakan AP orang lain untuk membawa kubis bulat yang menyebabkan harganya naik.

“Sehubungan itu, MyCC mencadangkan pemantauan rapi terhadap proses selepas pemberian AP bagi memastikan terdapat pilihan kepada pengguna dan harga yang kompetitif bagi kubis bulat di pasaran.

“Kita juga akan berkongsi maklumat hasil dapatan MyCC ini kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kajian Pasaran Sektor Makanan dikendalikan MyCC di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau akan membawa hasil kajian MyCC itu kepada Jemaah Menteri yang akan membincangkannya dari segi polisi serta tindakan susulan perlu diambil terhadap segala penemuan.

“Laporan ini diwujudkan atas semangat untuk berkongsi maklumat dengan agensi berkaitan supaya segala kelemahan dapat diatasi.

“Kalau ada kelemahan di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kita akan bertindak,” katanya.

Berita Harian X