Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:39pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye

PDRM disaran tubuh Unit KPP, tangani risiko tugas anggota

KUALALUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menubuhkan unit khas yang bertanggungjawab meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) warganya terutama bagi anggota yang bertugas di lapangan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kewujudan unit khas itu boleh membantu agensi penguat kuasa itu mengurus sistem keselamatan dan kesihatan berkaitan pekerjaan dengan cara lebih baik.

“Ia bertujuan mengurangkan kadar kematian dan kemalangan pegawai dan anggota polis setiap tahun kerana berdasarkan statistik, secara purata sekurang-kurangnya 32 pegawai serta anggota polis meninggal dunia setiap bulan ketika bertugas.

“Antara 2010 sehingga 2014, seramai 1,324 pegawai dan anggota polis maut, manakala 359 yang lain cedera serta terlantar akibat hilang upaya kekal kerana terbabit kemalangan ketika bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, lapan anggota polis disyaki terhidu bahan kimia selepas mengadu tidak sihat susulan pemeriksaan ke atas penemuan 15 tong dipercayai sodium sianida di sebuah ladang kelapa sawit di Karak, Bentong, Pahang.

Lam Thye berkata, kebanyakan kematian berlaku membabitkan kes kemalangan bencana ketika bertugas dan kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang ke lokasi tugasan.

“Antara risiko lain dihadapi termasuk pendedahan terhadap bahan kimia apabila pegawai dan anggota terbabit dalam penyiasatan kes pencemaran bahan toksik seperti yang berlaku di Karak membabitkan lapan anggota polis, baru-baru ini.

“Justeru, sudah tiba masanya PDRM menubuhkan unit khas itu sebagai mekanisme untuk mengatasi kemalangan dan peningkatan kes penyakit pekerjaan membabitkan anggota polis,” katanya.

Lam Thye berkata, NIOSH sebagai agensi tanggungjawab meningkatkan tahap KKP dalam negara, bersedia membantu PDRM menubuhkan Unit KKP itu dengan menyediakan tenaga pakar dan modul latihan bersesuaian.

“Warga PDRM perlu diberikan kesedaran mengenai KKP, selain mengguna pakai konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

“Ini akan membantu mereka mengenal pasti bahaya dan risiko serta mencari cara mengelak atau mengurangkan kesannya termasuk penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai,” katanya.

Berita Harian X