Ahad, 4 Ogos 2019 | 4:59pm
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock (kanan). - NSTP/Halim Salleh

NUTP mahu kerajaan mansuhkan UPSR

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dalam usaha transformasi sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid yang lebih baik.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, ketika menyuarakan cadangan itu berkata, pihaknya tidak melihat keperluan untuk mengekalkan UPSR dalam sistem penilaian pendidikan sehingga menyaksikan murid terpaksa menanggung beban untuk mendapat keputusan cemerlang.

Sehubungan itu, katanya, percaturan memansuhkan UPSR berupaya mengurangkan tekanan dan bebanan kepada murid, selain mengubah persepsi segelintir masyarakat yang menganggap ‘A’ semata-mata sebagai kayu pengukur kecemerlangan.

“Pemansuhan UPSR bukan bermakna tiada penilaian dikendalikan terhadap murid, terutama bagi menentukan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sebaliknya mereka akan diuji berasaskan pentaksiran oleh sekolah masing-masing dan bukannya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata.

“NUTP akan bersama-sama Kementerian Pendidikan untuk membantu bagaimana UPSR dimansuhkan, selain melakukan penambahbaikan terhadap pentaksiran berasaskan sekolah supaya ada instrumen yang berupaya membantu guru ke arah kecemerlangan murid.

“Kita juga mohon supaya NUTP dimasukkan dalam sesi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi memuktamadkan cadangan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Usul memansuhkan UPSR diketengahkan sejak 2016 lalu, namun Kementerian Pendidikan sehingga kini belum memberikan ‘kata putus’ mengenai langkah menggantikan modul peperiksaan itu kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Berita Harian X