Ahad, 4 Ogos 2019 | 1:31pm

Isu lif terhempas, KPKT akan panggil mesyuarat khas - Zuraida

MELAKA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memanggil satu mesyuarat jawatankuasa khas dalam tempoh terdekat susulan kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, kelmarin.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata mesyuarat itu akan membabitkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perumahan Negara serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam usaha mencari satu mekanisme baharu untuk mempertingkatkan keselamatan dan pengawasan lif khususnya di PPR di seluruh negara.

“Melihat insiden yang berlaku di PPR Kerinchi di Lembah Pantai, saya akan memanggil satu mesyuarat jawatankuasa dengan pihak berkepentingan untuk mencari satu mekanisme yang harus kita pertingkatkan untuk keselamatan lif di PPR.

“Mesyuarat ini diharapkan dapat mencari jalan terbaik untuk memastikan insiden atau kemalangan lif dapat dikurangkan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja di PPR Klebang, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin di PPR Kerinchi, lapan cedera termasuk empat mangsa patah kaki apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima, dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, mengikut siasatan awal lif di PPR Kerinchi yang sudah berusia 12 tahun itu dilaporkan diselenggarakan mengikut jadual. Bagaimanapun, katanya siasatan masih dijalankan.

Ditanya adakah kementerian itu akan mengarahkan JBPM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menubuhkan pasukan petugas khas susulan isu lif yang tidak diselenggarakan dengan baik, Zuraida berkata isu berkaitan lif adalah pengawasan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Zuraida (tengah) melihat rumah contoh ketika mengadakan lawatan kerja ke PPR di Klebang, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

“Dari segi pengawasan bukan di bawah KPKT, bukan juga di bawah bomba, sebaliknya ia dilakukan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Kita (KPKT) tidak terbabit, kecuali (tanggungjawab) bomba untuk memeriksa membabitkan kedudukan lif di mana mereka tidak terbabit dalam pemasangan,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan kerja beliau di PPR Klebang yang kini sudah mencapai 85 peratus pembinaan, Zuraida berkata kementerian bersetuju untuk melanjutkan tempoh akhir pembinaan projek perumahan itu sehingga 31 Disember depan, berbanding tarikh asal pada 3 September ini.

“Masih ada 15 peratus yang perlu diselesaikan termasuk kerja landskap dan kemudahan sebelum projek PPR Klebang ini dapat disiapkan akhir tahun ini.

“Saya juga meminta Lembaga Perumahan Melaka (LPM) untuk menyemak semula senarai permohonan di PPR Klebang supaya ia menepati aspirasi kerajaan Malaysia Baharu tanpa ada unsur campur tangan politik. Ini bagi memastikan 252 unit kediaman ini diisi oleh mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Zuraida mengadakan sidang media selepas lawatan kerja ke PPR di Klebang, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X