Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:14am

DKN 2030 pacu pembangunan ekonomi Bumiputera

Kira-kira setahun menggalas amanah sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof tidak terkecuali menerima kritikan demi kritikan. Namun, beliau fokus dengan tanggungjawab diberi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkasakan kembali kementerian diterajui. Lebih mesra disapa Pak Wan, Ahli Parlimen Alor Gajah ini berkongsi dengan wartawan BH, Che Wan Badrul Alias dan Ahmad Suhael Adnan mengenai visi serta strategi beliau, selain mengimbau kisah ketika diminta oleh Dr Mahathir untuk menganggotai Jemaah Menteri.

S: Boleh jelaskan secara terperinci perancangan kementerian dalam merealisasikan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030?

J: Sebelum ini, memang ada dasar menjurus pada pembangunan, seperti mahu bangunkan ekonomi orang Melayu, tetapi pelaksanaannya tidak sempurna, wujud ketirisan dan kumpulan elit menyebabkan jurang pendapatan semakin besar di antara kaya dan miskin, terutama bagi Melayu. Bahkan, tiada usaha menyelaras perbelanjaan peruntukan berbilion ringgit untuk melaksanakan dasar itu. DKN 2030 antara lain menyebut keperluan menyelaras semua kementerian yang terbabit dalam pembangunan usahawan. Ini cabaran terbesar Kementerian Pembangunan Usahawan (MED). Saya harap rakan pimpinan fahami kandungan DKN 2030 supaya dengan penyelarasan ini, hala tuju lebih fokus dan hasilnya boleh diukur.

S: Apa perancangan, program dirancang MED bagi merealisasikan DKN 2030?

J: Pertama, kita sedang perkukuh rantaian bekalan bagi semua sektor membabitkan pembangunan usahawan. Sektor keutamaan adalah aeroangkasa, gerakan koperasi, industri halal. Selama ini, stereotaip mengatakan usahawan Melayu tidak mampu berjaya dan mengamalkan ‘Ali Baba’ adalah kerana kita tidak selesaikan isu rantaian bekalan. Jadi, kita akan wujudkan rantaian antara vendor, sub-vendor, kontraktor induk. Seperti manifesto Pakatan Harapan (PH) mahu bangunkan rumah mampu milik, kita akan bincang dengan Kementerian Kerja Raya, Khazanah dan swasta untuk membina dengan harga terendah, kemudian wujudkan ekosistem untuk usahawan terbabit.


Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof. - Foto Mohd Yusni Ariffin

S: Perancangan MED untuk bantu usahawan menceburi sektor industri halal?

J: Terlalu sedikit usahawan kita ambil peluang berkecimpung dalam industri pembuatan halal. Dengan nilai pasaran sektor halal global kira-kira RM27 trilion, bayangkan jika 30 peratus daripada 200,000 usahawan ceburi bidang halal dan andainya berjaya kuasai 10 peratus pasaran halal dunia, mereka mampu sumbangkan sehingga RM2.7 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Kerana itu, Malaysia tandatangani perjanjian dua hala dengan Jepun bagi beri ruang kepada usahawan Malaysia terbabit dalam pembekalan produk halal untuk Sukan Olimpik 2020. Kami juga berbincang dengan Australia untuk menjadikan Malaysia hab pemprosesan daging lembu halal. Bahagian tidak dijual seperti tulang akan ditukar menjadi gelatin, iaitu antara bahan utama dalam pembuatan makanan. Malah, kajian kami menunjukkan harga daging lembu Australia mungkin lebih rendah daripada daging tempatan selepas ini, sekali gus menurunkan kos sara hidup. Kita mungkin boleh jual daging lembu Australia premium pada harga RM40 sekilogram, berbanding RM60 hingga RM70 ketika ini.

S: Jumlah pelaburan boleh dihasilkan menerusi hab pemprosesan daging ini?

J: Untuk fasa pertama, nilai pelaburan dijangka cecah RM1 bilion. Berdasar perbincangan dengan beberapa negara Asia Barat seperti Qatar, mereka mahu melihat bagaimana kita mahu bangunkan inisiatif ini sebelum membuat pelaburan. Namun, ada beberapa isu perlu diselesaikan seperti jika daging lembu itu diproses di Malaysia, adakah ia boleh dieksport ke negara yang tidak memerlukan sijil bebas penyakit tangan dan mulut (FMD) kerana Malaysia bukan negara bebas FMD. Alternatif lain adalah hab ini akan beroperasi di Sabah atau Sarawak yang bebas FMD. Ada cadangan diwujudkan di Melaka, Johor, Sabah atau Sarawak, tapi perlu diputuskan berdasarkan pertimbangan ekonomi bagi melindungi usahawan kita. Saya menyasarkan majlis pecah tanah (hab pemprosesan daging) diadakan tahun ini juga.

S: Ada pihak berpandangan Datuk Seri tidak perlu sibuk menyentuh pelaburan luar kerana tiada kaitan langsung dengan pembangunan usahawan?

J: Saya ada banyak rangkaian antarabangsa. Dalam waktu terdekat, kita akan bawa pelaburan bernilai RM13 bilion dalam bidang petrokimia di Sabah yang dianggar bakal wujudkan sehingga 6,000 peluang pekerjaan. Fokus saya adalah memastikan pelabur luar menyumbang kepada agenda MED. Bagi pelaburan ini, akan menghasilkan limpahan ekonomi boleh dimanfaatkan usahawan di sana, dari peringkat buka kedai di kawasan berkenaan hinggalah menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan menggunakan dron.

S: Apa lagi sektor boleh diceburi, dikuasai usahawan tempatan dan bagaimana MED boleh bantu?

J: Saya lihat kita bergantung pada negara luar untuk mendapatkan aset pertahanan dan ketenteraan, walhal ada syarikat tempatan yang membina lebih 40 kapal untuk Tentera Laut Indonesia. Kita tidak guna kepakaran tempatan kerana ekosistem tak diwujudkan, kita tak permudahkan. Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, andai ada perolehan kerajaan untuk pertahanan sebanyak RM10 bilion, bagi saya RM4 bilion untuk diperuntukkan kepada usahawan tempatan kerana mereka ada kepakaran menghasilkan aset pertahanan dan ketenteraan yang lebih murah dan mengikut tujuan yang kita mahukan. Contohnya, jika mahu memantau pencerobohan perairan, kenapa perlu beli frigat (kapal) dari Korea, Itali atau Perancis, sedangkan kita boleh bina kapal lebih kecil yang boleh bergerak laju serta mengarahkan dron dilengkapi teknologi pengesan haba? Kepakaran menghasilkan aset ini dimiliki usahawan kita.


Dr Mahathir melancarkan buku Dasar Keusahawanan Negara 2030, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Yang turut hadir, Mohd Redzuan dan timbalannya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali/BH

S: Kabinet terima cadangan usahawan tempatan ceburi industri ketenteraan?

J: Pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Menteri Pertahanan berkongsi pengalamannya di pameran aset ketenteraan di Paris. Beliau bertanya harga bom yang dipamerkan, syarikat itu beritahu satu unit sekitar 300 Euro. Kemudian, datang seorang ejen warga Malaysia tawarkan bom sama pada harga RM10,000. Ini sudah berlaku sekian lama. Jadi, saya guna peluang itu untuk ketengahkan usahawan tempatan. Tun (Perdana Menteri) minta saya bentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri untuk wujudkan program pembangunan usahawan (bidang pertahanan).

S: Ada sentimen kalau buat senjata, seolah-olah mahu berperang dengan negara jiran?

J: Tun ada sebut kita tak perlu buat aset besar, kita bukan negara mahu berperang, cuma fokus aset keselamatan. Kita boleh guna kepakaran sedia ada bina kapal bagi tujuan pemantauan sempadan laut. Usahawan kita boleh bina 10, 20, 30 unit (kapal) dengan harga rendah. Ya, cadangan ini diterima baik Menteri Pertahanan. Kita sedang berbincang untuk memahami apa aset pertahanan yang Kementerian Pertahanan mahukan. Kita biar usahawan tempatan hasilkan, jika tak cukup baru kita lengkapkan dari negara luar yang ada hubungan rapat, tiada isu keselamatan atau babitkan kedaulatan.

S: Perkembangan prototaip kereta terbang yang dijangka dilancar Oktober ini?

J: Kemajuannya sudah cecah 75 peratus dan ia dibina di Jepun, rangka mekanikal semua sudah terbentuk. Ini inisiatif swasta, jadi kami perlu hormati mereka, tak boleh dedahkan sebelum mereka buat pengumuman. Syarikat ini juga sedang berkembang dan dipantau pelabur asing. Kita khuatir mereka mahu bawa syarikat ini keluar dari Malaysia ke Amerika Syarikat. Disebabkan itu, Malaysia perlu segera wujudkan ekosistem mesra bagi teknologi seperti ini. Kita perlu selaraskan segera peraturan bagi membolehkan kereta terbang, dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) beroperasi serta adakah insurans akan lindung individu guna kereta terbang.


Industri halal mampu menyumbang pulangan yang lebih besar kepada KDNK negara. - Foto hiasan

S: Komen terhadap mereka yang meremehkan inisiatif kereta terbang ini?

J: Ketika kita berdebat sama ada perlu laksanakan atau tidak, orang lain sudah pun wujudkan sistemnya. Saya usulkan perkara ini selepas lawatan ke Jepun. Saya diberitahu, antara teknologi akan diketengahkan pada Ekspo Osaka 2025 adalah teksi terbang. Kembali ke Malaysia, ada pihak usulkan dalam satu mesyuarat supaya Cyberjaya dibangunkan semula sebagai pusat ujian rekaan. Ketika itu, saya usulkan untuk hasilkan kereta terbang. Tun kata, buatlah. Sekarang, jika ada pihak hasilkan kereta terbang, saya sudah ada ruang untuk mereka mengujinya.

S: Pernah tanya Tun Dr Mahathir mengapa dilantik Menteri Pembangunan Usahawan?

J: Saya tak pernah jangka dilantik. Tun hubungi saya secara peribadi, tanya: “Pak Wan terima tak?” Saya tanya, terima apa? Masa itu nak raya, jadi saya ingatkan Tun tanya sudah terima duit raya ke. Kemudian beliau kata “tak apalah, terima ke tak terima? Saya nak lantik Pak Wan jadi Menteri Pembangunan Usahawan”. Saya jawab, terima kasih Tun, Alhamdulillah. Tun kata: “Saya patut terima kasih kepada Pak Wan sebab terima lantikan.” Masa Tun jadi Perdana Menteri keempat, beliau tidak pernah hubungi calon menteri, mereka hanya terima surat. Ini satu penghargaan buat saya. Antara permintaan Tun pada saya adalah untuk bangunkan budaya baharu, beri latihan dan pembelajaran kepada usahawan berdasarkan apa yang saya harungi sendiri. Saya bersyukur kerana sehingga hari ini, beliau belum pernah menegur saya.

205 dibaca
Berita Harian X