Sabtu, 3 Ogos 2019 | 10:33pm
TUN Dr Mahathir Mohamad hadir pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan. - Foto BERNAMA

Sambutan meriah pelancaran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang 2019

MELAKA: Lebih 30,000 orang menghadiri sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ di lokasi laungan keramat ‘Merdeka’ di padang Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini, malam ini.

Sambutan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu mengembalikan sejarah sama yang bergema pada 20 Februari 1956.

Perdana Menteri turut menyempurnakan pelepasan 62 kenderaan pelbagai jenis dalam siri jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG19) ke seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan jarak perjalanan sejauh 6,200 kilometer, selain dimeriahkan dengan konsert, larian kemerdekaan, pameran membabitkan 37 gerai agensi kerajaan dan swasta.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari; Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) melawat Pameran Hutan Kita selepas merasmikannya di Menara Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Terdahulu, ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ itu yang tiba jam 8.45 malam, disambut dengan persembahan ‘Selamat Datang’.

Sementara itu, Adly dalam ucapannya berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi program pelancaran sambutan berkenaan adalah bertepatan bagi mengimbau sejarah pengisytiharan kemerdekaan negara yang diadakan di Bandar Hilir kira-kira 63 tahun lalu.

“Sejarah tercipta pada masa itu di bumi Melaka. Sehubungan itu, mewakili seluruh rakyat negeri ini, saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan kepada Melaka tahun ini.

“Saya bersyukur kerana Melaka terpilih sebagai negeri pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang.

“Justeru, saya menyeru rakyat Melaka khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk bersama-sama menunjukkan semangat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan rasa cinta kita terhadap negara,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran adalah berdasarkan faktor sejarah.

“Tema tahun ini menitikberatkan hasrat kerajaan untuk memupuk semangat cintakan negara dan mengeratkan jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai jati diri dan integriti.

“Logo rasmi sambutan Hari Kebangsaan memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang, mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka. Logo ini juga menggambarkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam keharmonian rasa seia sekata, sehati dan sejiwa,” katanya.

Berita Harian X