Sabtu, 3 Ogos 2019 | 4:45pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) , Wan Saiful Wan Jan(dua dari kiri) ketika merasmikan Program Jelajah SSPN di Seri Mentaloon. - Foto Amran Hamid

PTPTN sasar simpanan RM1 bilion sepanjang 2019

ALOR SETAR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baru pada tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata peningkatan jumlah simpanan dan bilangan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dari tahun ke tahun menunjukkan rakyat mula sedar kepentingan membuat perancangan kewangan untuk pendidikan anak.

“Pada 2018, PTPTN berjaya mencapai kutipan deposit SSPN berjumlah RM1.13 bilion dan ia adalah jumlah penabungan tertinggi sejak SSPN diwujudkan pada 2004.

“Bilangan akaun baharu yang dibuka pula adalah sebanyak 678,829. Ini adalah pencapaian tertinggi dalam sejarah PTPTN,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah SSPN 2019, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Wan Saiful berkata, jumlah sasaran RM1 bilion dengan 500,000 akaun baru itu adalah cabaran bagi PTPTN, namun beliau percaya melalui strategi dan kerjasama dengan kerajaan negeri ia mampu dicapai.

“Harapan kami semoga Kerajaan Kedah terus menyokong usaha yang dibuat oleh PTPTN untuk menggalakkan penabungan,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri menyediakan sumbangan dalam bentuk akaun SSPN kepada anak kelahiran baharu di Negeri Kedah di bawah program Skim Insentif Kelahiran Anak (IKA) bermula tahun 2015 hingga 2018.

“Saya juga amat tertarik apabila dimaklumkan kenapa SSPN perlu menjadi pilihan utama kerajaan negeri Kedah sebagai insentif atau hadiah bagi program-program di bawah kerajaan negeri Kedah

“Ini kerana banyak keistimewaan skim ini yang dapat dinikmati oleh ibu bapa sebagai pendeposit seperti dividen yang kompetitif, pelepasan cukai dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis itu juga, PTPTN memberikan sumbangan kepada 4,920 pelajar daripada 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kawasan Parlimen di Negeri Kedah berjumlah RM492,000.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah.

Berita Harian X