Sabtu, 3 Ogos 2019 | 2:44pm
Flat PPR Kerinchi. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Lif berhenti mengejut - JKKP

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati lif di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, tidak terhempas, sebaliknya berhenti secara mengejut.

Ketua Pengarahnya, Omar Mat Piah, berkata lif berkenaan berhenti secara mengejut di ‘pit’ iaitu kira-kira dua meter dari bahagian penampan di bawah lif berkenaan.

“Pemeriksaan awal JKKP juga mendapati tali sawat lif berada dalam keadaan baik, manakala sistem lif dan sistem brek lif juga berfungsi baik.

“Lif terbabit tidak terhempas, sebaliknya berhenti mengejut di tingkat bawah PPR berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lif terbabit di Blok C, PPR Kerinchi di sini, hari ini.


Omar melihat keadaan lif yang mengalami masalah di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Omar berkata, terdapat penampan di bahagian bawah tanah lif iaitu kira-kita dua meter jika lif berkenaan terhempas.

“Lif berhenti mengejut di aras bawah PPR berkenaan dan tidak sampai ke bahagian penampan. Jika ia terhempas sudah pasti akan sampai ke penampan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati lif berkenaan berusia 12 tahun dan diselenggara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan keputusan hasil siasatan insiden terbabit secepat yang mungkin.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang meneliti dan memeriksa keseluruhan lif terbabit dan mengumpul maklumat daripada mangsa yang berada di dalam lif ketika kejadian semalam.

Berita Harian X