Jumaat, 2 Ogos 2019 | 8:24pm
Foto hiasan.

Tulisan khat akan diteruskan - Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan itu akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.

Perancangan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dalam kurikulum sekolah sudah pun dimulakan sejak 2014 lagi.

Usaha itu adalah bertujuan untuk menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

Katanya, dalam merealisasikan hasrat itu, pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan sudah pun dilakukan.

“Kementerian mengambil maklum pelbagai respon terhadap isu pengenalan tulisan khat (Jawi) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020,” katanya.

Tulisan Jawi adalah warisan Bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, selain terdapat pada jata negara, jata negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.

“KPM komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Berita Harian X