Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:59am
KETUA Pengarah DVS, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

Proses import keratan ayam ikut prosedur, telus - DVS

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menafikan tuduhan jabatan itu tidak telus dalam meluluskan permit import (AP) atau wujud salah laku dalam kaedah permohonan bagi pengimportan keratan ayam.

Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, menjelaskan proses kelulusan pengimportan keratan ayam ke negara ini dilakukan mengikut prosedur serta perlu memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.

Katanya, pemohon perlu melalui beberapa proses dan mematuhi syarat seperti mempunyai loji dan kilang bagi memproses keratan ayam untuk dijadikan produk seperti sosej, ‘nugget’ dan burger untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“DVS kemudian melakukan pemeriksaan di lapangan sama ada pemohon memenuhi kriteria ditetapkan sebelum syor dikemukakan kepada tiga jawatankuasa peringkat jabatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk kelulusan.

“Jawatankuasa terakhir dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian akan membuat keputusan sama ada permohonan diluluskan atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Quaza Nizamuddin berkata, dakwaan yang tular di laman sosial kononnya wujud pilih kasih dan salah laku dalam proses kelulusan AP keratan ayam, menimbulkan persepsi negatif kepada DVS.

Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan meluluskan 62 daripada 138 syarikat yang memohon untuk mengimport keratan ayam, manakala bakinya tidak diluluskan kerana gagal memenuhi kriteria.

Katanya, industri pengimportan keratan ayam adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan sektor hiliran yang mana ia diimport daripada 17 loji dari empat negara iaitu Thailand, Denmark, Brazil dan China.

“Setiap loji di luar negara itu melalui proses audit oleh DVS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan untuk pemeriksaan dari segi halal, penilaian risiko terhadap penyakit serta lain-lain perkara berkaitan.

“Pada 2018, negara mengimport keratan ayam dengan nilai RM468 juta dan mendatangkan pulangan sehingga RM730 juta,” katanya sambil menambah setiap syarikat dibenar mengimport separuh daripada keperluan keratan ayam, manakala separuh lagi ayam tempatan.

Berita Harian X