Khamis, 1 Ogos 2019 | 5:44pm
Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu (kiri) hadir pada perbicaraan membabitkan penyelewengan dana SRC International bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Jho Low tawar gaji lumayan untuk kerja di 1MDB

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus perhubungan AmBank menolak tawaran kerja bergaji lumayan di 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Low Taek Jho atau Jho Low kerana tidak mahu bekerja dengan ahli perniagaan itu.

Joanna Yu, 48, berkata perkara itu berlaku pada November 2013, dengan Jho Low menawarkan gaji berjumlah RM60,000 sebulan di 1MDB.

“Tapi saya tidak mahu bekerja dengan dia (Jho Low),” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, di hari ke-47 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, Harvinderjit membacakan transkrip perbualan antara Joanna dan Jho Low pada 24 Nov 2013.

Jho Low: Tahukan anda sesiapa yang boleh dipercayai yang boleh diambil bekerja sebagai ketua pegawai kewangan bagi SRC (International Sdn Bhd)?

Yu: Jika ada sesiapa, saya akan beritahu anda.

Jho Low: Ok, terima kasih. Boleh saya ambil Daniel juga?

Harvinderjit kemudian bertanya saksi sekiranya kenyataan Jho Low itu merujuk kepada Daniel Lee, anggota pasukannya, dan Joanna menjawab ‘Ya. Saya rasa begitulah… sebenarnya Jho Low hendak ambil kami semua untuk bekerja dengannya, tapi kami tidak mahu.

Mahkamah juga diberitahu yang wang daripada akaun SRC International dipindahkan ke akaun Ambank milik Najib bagi mengelakkan pengeluaran cek melebihi baki dalam akaun bekas perdana menteri itu dan seterusnya cek dikembalikan.

Joanna berkata arahan untuk memindahkan wang SRC ke dalam akaun peribadi semasa Najib dikeluarkan oleh Jho Low.

Saksi ke-54 pendakwaan itu, berkata Jho Low mempunyai kuasa untuk memberikan arahan bagi memindahkan dana daripada akaun SRC International.

“Sehubungan itu, wang berkenaan dipindahkan ke dalam akaun Najib untuk mengelakkan cek melebihi baki dalam akaun dan seterusnya cek dikembalikan,” katanya.

Joanna yang menjawab soalan Harvinderjit berkata 19 transaksi membabitkan deposit wang tunai ke dalam akaun Najib dengan jumlah lebih RM12 juta antara tahun 2014 dan Mac 2015 adalah bagi tujuan sama.

Bagaimanapun Joanna berkata beliau hanya mengetahui mengenai pemindahan wang membabitkan SRC Internarional dan bukan daripada anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Joanna berkata demikian pada perbicaraan kes SRC International yang masuk hari ke-46 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada prosiding itu juga, Joanna berkata Jho Low meminta beliau berbohong kepada Public Bank bagi menunaikan bank draf berjumlah RM139 juta yang dikeluarkan oleh akaun SRC Ambank.

Saksi itu menjelaskan, SRC mengeluarkan tiga draf bank bagi tujuan pembayaran kepada syarikat pembinaan, Putra Perdana Sdn Bhd, bagi pihak Gandingan Menteri Sdn Bhd (GMSB) yang kononnya adalah anak syarikat SRC.

Beliau bagaimana bersetuju dengan cadangan Harvinderjit, bahawa GMBS pada ketika itu masih belum menjadi anak Syarikat SRC International.

Harvinderjit : Jho Low meminta anda mereka-reka cerita?

Joanna : Ya

Harvinderjit : Kepada bank anda sendiri (Ambank) dan Public Bank?

Joanna: Ya, beliau meminta saya untuk mengesahkan cerita.

Harvinderjit : Jho Low meminta anda berbohong?

Joanna : Ya

Harvinderjit : Orang yang dimaksudkan itu adalah Jho Low?

Joanna: Ya.

Berita Harian X