Khamis, 1 Ogos 2019 | 1:43pm
MOHAMAD Imran Abd Hamid

Imran tarik balik cadangan undang-undang lindungi lelaki

KUALA LUMPUR: Senator dari PKR, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid menarik balik cadangannya berhubung penggubalan undang-undang gangguan seksual bagi melindungi lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Katanya, niatnya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang menyinggung ramai golongan wanita dan lelaki kerana dianggap penghinaan terhadap mereka.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terjejas dengan perbahasan saya kerana mencadangkan diwujudkan akta gangguan seks melindungi lelaki ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Peguam Syarie di Dewan Negara, semalam.

“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketika membahaskan RUU berkenaan, Mohd Imran mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi golongan lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Cadangan itu turut mendapat reaksi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan pendirian cadangan sedemikian adalah tidak munasabah dan menghina golongan wanita dan meminta Mohd Imran menarik balik cadangan berkenaan.

Ia juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terbabit dengan perbuatan keji.

Berita Harian X