Khamis, 1 Ogos 2019 | 8:16am
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar minta Senator PKR tarik balik cadangan

KUALA LUMPUR: PKR menolak cadangan penggubalan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyuarakan pendirian itu menyifatkan cadangan sedemikian adalah tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

“Ia juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terbabit dengan perbuatan keji.

“Adalah lebih molek sekiranya kita memfokuskan terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak

sebarang serangan seksual terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Senator dari PKR, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 di Dewan Negara, semalam, yang mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Mohamad Imran dilaporkan berkata, gesaan itu dibuat bagi menjamin ‘keselamatan’ golongan lelaki, sekali gus menjadikan negara aman.

“Wujudkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya,” katanya.

Rasional disifatkan sebagai tidak berasas itu dihujani kritikan pelbagai pihak, termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, yang terkejut dengan cadangan berkenaan.

“Bayi dan kanak-kanak turut menjadi mangsa jenayah yang sama. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menggoda lelaki, tetapi mereka termasuk dalam statistik itu.

“Tuhan tidak menjadikan manusia sama dengan binatang. Manusia diberi kuasa untuk membuat keputusan, berfikir, untuk mengawal perasaan,” katanya seperti dilaporkan portal berita, semalam.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson meminta supaya Mohamad Imran menarik balik cadangan berkenaan.

Berita Harian X