Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:26am
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memotong kek berbentuk singgahsana meraikan Hari Keputeraan baginda yang ke-60 di Istana Negara, malam ini. - Foto BERNAMA

Agong terima kejutan Hari Keputeraan

KUALA LUMPUR: Nyanyian lagu ‘Allah Selamatkan Tuanku’ berkumandang di Istana Negara malam ini, sebagai kejutan bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60.

Kejutan itu berlangsung ketika Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersedia untuk berangkat pulang bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas selesai menghadiri Majlis Santapan Diraja malam ini.

“Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Duli Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku.”

Bait lagu itu dinyanyikan penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah dan anak-anak Permata Seni Koir yang turut disertai hadirin.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan kek berbentuk singgahsana dan berkenan memotong kek di hadapan lebih 700 tetamu.

Lebih manis, Tunku Azizah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek dan memberikan salam hormat serta pelukan.

Baginda berdua turut berkenan bersalaman dan bergambar dengan tetamu sebelum meninggalkan majlis. – BERNAMA


RAJA Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60 di Istana Negara, malam ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X